Surah Al-Alaq
" (Allah) yang mengajar manusia dengan pena (perantaraan kalam). Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya" ayat 4-5
Kesimpulan ayat di atas ialah sumber segala ilmu daripada Allah swt. Dalam ayat kursi dijelaskan bahawa ilmu itu Allah boleh bagi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Kursi Allah itu meliputi langit dan bumi. Dan dalam surah Al-Kahfi ayat 109 dikatakan ilmu Allah tiada hadnya walau lautan dijadikan tinta dan ditambah lagi lautan di bumi ini tetap tak akan cukup untuk menulisnya. Dia menurunkan Kitab sebagai buku teks dan Rasul sebagai guru. Bagi kita umat Nabi Muhammad saw, kitab AlQuran menjadi asas kepada ilmu di dunia sekarang.
Menuntut ilmu adalah cara mendekatkan diri kepada Allah maha pencipta dan mengajarkan ilmu adalah sedekah.
Dengan ilmu, manusia sepatutnya menjadi lebih mengenali sang pencipta, lebih taat, lebih takut kepada balasan azab Allah swt dan beramal soleh. Tidak kiralah ilmu apa sekali pun.
Manusia boleh mendapat ilmu dengan berusaha mempelajarinya. Manusia juga boleh mendapat ilmu dengan diberi terus oleh Allah swt kepda sesiapa yang dikehendakiNya seperti para Nabi dan Rasul.
AlQuran terus menjadi kajian para ilmuwan untuk mencari ilmu dan bukti kebenarannya agar menginsafkan penuntut ilmu dan semua manusia. Allah berfirman:
" Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata untuk mereka al Quran itu adalah benar. Belum cukupkah buat mereka yang Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap perkara?" (Fussilat- 53)
Kenapakah pentingnya kita mengenal keberadaan Maha pencipta dengan ilmu dan pemerhatian kepada ciptaanNya? Jawabnya supaya iman atau keyakinan kita kepada Allah swt sentiasa bertambah dan akhirnya dapat menyebabkan kita takut dan mengharap kepada Allah swt sahaja. Kerana Allah swt menjadikan jin dan manusia untuk menyembahNya. Dan manusia itu memang banyak membantah. Kerana hati manusia itu sentiasa dikotori oleh perbuatan dosa. Dan paling penting, apabila keyakinan kita berkurang, kita akan cenderung kepada dosa yang paling besar iaitu syirik yang halus. Sebagai contoh kita lebih yakin ubat yg menyembuhkan penyakit kita sedangkan makan ubat itu hanyalah usaha kita dan mesti diiringi dengan doa dan tawakal kepada Allah swt.
Ramai orang berusaha dengan tekun dalam menuntut ilmu sama ada ilmu agama atau ilmu kebendaan tetapi akhirnya dia masih lalai dalam mentaati ajaran islam seperti tidak solat, pemarah, bersikap kasar, dengki, mengumpat, bermega dengan perhiasan / ujian dunia (anak2 yg banyak, harta yg bertimbun, kereta mewah, rumah besar dsbg) dan tidak suka membantu orang lain yang hidup melarat? Jawapannya mudah, kerana ilmu tidak disertakan dengan tauhid, ilmu tidak dikaitkan dengan nikmat ciptaan Allah swt..ada ilmu tapi hanya digunakan untuk mencapai kepentingan sendiri spt keuntungan, kemegahan dan lain2. contohnya kita mahir dalam berpolitik tapi tak takut kepada Allah bahawa apa saja yg kita ucapkan atau perbuatan akan menindas orang yg lemah. Kita mahir memasak tapi tidak mengamati dan mengagungkan Allah yg menumbuhkan sayur yg kita sdg masak. Kita pandai memancing tapi tidak mengamati dan membesarkan Allah yg menciptakan ikan dan lautan..kita berwajah cantik tapi bila becermin atau tengok gambar kita tidak bersyukur dgn menyebut alhamdullilah...
Akhir sekali ilmu yang tidak bertauhidkan Allah swt kita takuti bakal memusnahkan kehidupan manusia...bayangkan tuan-puan sidang pembaca yang dirahmati Allah, ilmu sains sekarang dikuasi oleh orang bukan islam, senjata yang canggih boleh memusnahkan kita apabila pengamal senjata itu tidak beriman dengan hanya mengaut keuntungan. Ilmu program komputer digunakan utk merompak bank, ilmu sistem kewangan digunakan untuk menindas orang kampung..dan banyak lagi ilmu yg disalahgunakan.
Oleh itu menuntutlah apa juga ilmu untuk kebaikan diri, keluarga dan bangsa tetapi pastikan ilmu yang kita perolehi dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt..Amin